Friday, May 20, 2011

~Demi Cinta Ini~


Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.

Tirulah sifat Al A'ffu (Maha Pemberi Maaf) Allah SWT... yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu... pengampunan Allah tidak bertepi dan "bertapi" lagi.

Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa... Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.

Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!

Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati... Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.

Bila datang perasaan semacam itu di hati mu... sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA..

Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri... Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar.

Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah. Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.

Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan.

Kemarahan seumpama 'bom jangka' yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita.Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah "benci tapi rindu".

Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup... berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita 'bebas' dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu.

Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita.Kemarahan itu adalah "api" dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.

Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau "life style" orang-orang yang soleh.Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami?

Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun... Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!

Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang nasuh hidup, bukan untuk orang yang telah mati.

Bayangkan, isteri atau suami kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang "tidak selesai" antara hati-hati kita berdua?

Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.

Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!

Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil... Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.

Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin... tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.

Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,"kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan." Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.

Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca "4 Qul", doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu. Dan "orang lain" yang paling dekat dan hampir dengan kita ialah teman tidur di sebelah... siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita.

Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam"fail" di hati sanubari kita. "Delete" segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri. Jangan lagi fikirkan "sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini..." Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.

Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.

"Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. "

"Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku."

Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!

Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah... aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, "tiada maaf bagi mu" selagi ada rasa cinta.

Kekadang ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau isterinya. Mereka yang diserang penyakit "benci tapi rindu" ini akan menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi. Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.

Mereka yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu.

Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?

Kata ahli psikologi, "Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak."Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!

- Artikel iluvislam.com

Hidup Tenang Bersama Allah

Tenangnya bersama Allah,
Ketika aku tidur, Engkau selalu jaga dan melihatku lena,
Ketika aku sakit, Engkau menghapus segala dosa-dosa yang lama,
Ketika aku sesat, Engkau tarik aku kembali ke jalan-Mu,
Ketika aku sujud, Engkau hadirkan ketenangan dan harapan yang baru.
Tenangnya bersama Allah,
Engkau penjagaku setiap masa,
Memerhati setiap gerak geriku,
Mengabulkan doa-doa ku,
Dan membuat ku rasa selamat.
Tenangnya bersama Allah,
Bila keyakinan terhadap Mu telah tinggi,
Maka aku tidak takut lagi,
Tidak takut untuk mencari-Mu ketika aku susah,
Tidak lupa untuk memuji-Mu ketika aku senang,
Dan tidak sanggup untuk aku mengulangi dosa dan maksiat lama.
Tuhanku,
Aku rasa tenang bersama-Mu,
Dan aku ingin kembali untuk bertemu dengan-Mu,
Dalam keadaan yang Engkau redhai,
Kabulkanlah doa ini, Ya Rabb...
(Artikel-iluvislam)

~Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?~


Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.

Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.

Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.

Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.

Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.

Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

Semoga mereka tak tersalah pilih.

Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.

Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...

- Artikel iluvislam.com

Rezeki Itu Hak Allah



Sebuah basikal tua,
Dinaiki seorang lelaki berusia,
Dengan senyuman terukir di bibirnya,
Membuatkan diri ini memikirkan betapa mulianya dia...
Dalam zaman serba moden ini masih adakah insan yang menggunakan basikal bagi mencari sesuap nasi? Susah nak percaya kan. Tapi percayalah masih ada insan yang menggunakan basikal tua untuk mencari rezeki yang halal.
Pernah suatu ketika semasa saya menunggu bas untuk pulang ke kampus, saya ternampak seorang lelaki berseluar pendek, memakai t-shirt dan bertopi (mungkin mahu melindungi wajah dari terik matahari), memberhentikan basikal tuanya berhampiran dengan perhentian bas. Saya kira dia berbangsa India dari segi pakaian dan warna kulitnya. Di bahagian belakang basikalnya kelihatan terselit kotak-kotak kosong yang sudah dilipat-lipat bagi menjimatkan ruang. Beliau kelihatan tersenyum dengan pekerjaannya itu. Membelek dari satu tong sampah ke satu tong sampah yang lain. Mungkin pada pandangan orang lain kotor tapi itulah pekerjaan yang halal dan tidak meminta-minta pada orang lain. InsyaAllah, Allah memberikan rezeki yang halal kepada mereka yang rajin berusaha. Tapi ingat, matlamat tidak menghalalkan cara.
" Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya ".
( Surah ar-Rad : 11 )
Saya juga pernah melihat seorang makcik yang berbangsa cina semasa zaman persekolahan dahulu. Bertahun-tahun dia mengayuh basikal mininya mencari tin-tin kosong dan kotak-kotak yang tidak digunakan lagi. Selama beberapa tahun saya perasan dan memerhatikan makcik ini yang setia dengan pekerjaannya dengan skirt dan t-shirt lusuhnya. Malahan semasa saya pulang ke kampung baru-baru ini juga saya seakan masih ternampak makcik cina tersebut atau mungkin juga saya silap orang. Setiap hari basikalnya penuh dengan muatan, tak pasti pulak dari mana dia mencari semua bahan terbuang tu. Tapi semangat kentalnya yang tak pernah mengena erti penat membuatkan saya kagum.
Jangan kita ingat bila kita dah tak perlukan sesuatu tu, orang lain juga turut tidak memerlukannya? Jangan berfikiran cetek kerana barangkali kamu tidak suka tapi orang lain suka kerana kejadian Allah ni unik. Teringat pulak kisah dengan adik sewaktu nak beli kain baju kurung. Orang cakap kain A cantik, dia cakap tak cantik. Yang orang tengok tak cantik tulah dia kata cantik. Padahal kami sekeluarga tak berkenan dengan pilihan dia tu. Tapi mata dia kata cantik nak buat macam mana kan. Lagipun dia yang nak pakai. Jadi biarlah dia dengan pilihan hatinya. Tiada manusia yang sama antara satu sama lain. Sedangkan cap jari tidak ada yang pernah sama. Itulah ciptaan yang Maha Agung. Belum bersyukurkah kita???
Saya juga pernah beberapa kali semasa makan, ada dua orang (kadang-kadang lelaki berpasangan dan kadang-kala perempuan berpasangan, yang seorang normal dan sorang lagi tidak boleh melihat dalam erti kata lain buta) bergerak dari satu meja ke meja lain untuk menjual tisu. Kiranya membeli sambil bersedekahlah kan. Kadang-kadang bila ada pelanggan yang menolak, mereka tidak pernah berputus asa untuk bergerak ke meja lain dan tidak ada istilah malu dalam diri mereka. Kadang-kadang saya beli juga walaupun saya jarang guna tisu sebenarnya, sebab saya lebih selesa guna sapu tangan Tisu tu buat spare je, selalu saja ada member tanya "ada tisu tak". Kalau pada masa tu saya ada tisu maknanya saya tidaklah menghampakan orang yang meminta. Betul tak?!
Kadang-kadang kita dengan mudah menghukum golongan sedemikian. Dikatakan menumpang kesenangan orang lain dengan hanya tahu meminta-minta. Tapi kita kena ingat kerana rezeki kurnian Allah itu bukan hak mutlak kita. Ia perlu dikongsi kerana dalam rezeki kita ada nisbah orang lain.
REZEKI adalah sesuatu yang telah dijamin oleh Allah kepada seorang hambanya. Rezeki yang kita dapat tu bukan hak mutlak kita seorang, ada hak orang lain di dalamnya. Allah telah menampakkan anugerah kepada hambaNYA dengan menempatkan harta berfungsi sebagai IBADAH. Sebab tu ZAKAT wajib dibayar. Supaya rezeki yang diberikan berfaedah bagi si pemilik dan bermanfaat pula bagi sesama hamba Allah. Dan sekiranya harta itu tidak memberikan manfaat bagi agama, sesama hamba, dalam hubungannya dengan keagungan nama ALLAH swt maka ALLAH berhak menarik semula rezeki itu kerana ALLAH swt adalah pemilik yang sah bagi semua harta yang ada di dunia mahupun akhirat.
Sebab tu dalam Islam digalakkan bersedekah. Jangan pentingkan diri sehingga kita terlupa, nyawa kita juga hanya pinjaman oleh Yang Maha Esa. Entah esok lusa, jika DIA mahu mengambil balik apa yang dipinjamkan kepada kita, siapa kita untuk menafikan yang bukan hak kita. Cuba letakkan diri kita pada tempat mereka? Cuba selami hati dan perasaan mereka? Bukan mereka mahu jadi begitu, barangkali keadaan memaksa walaupun mungkin ada alternatif lain yang boleh difikirkan oleh kita tapi tidak oleh mereka.
Kita semakin matang setiap hari kerana usia semakin meningkat, jadi belajarlah untuk menerima pendapat dan keinginan orang lain. Biarkan mereka melakukan sesuatu yang mereka suka walaupun kita kurang selesa dengan hal tersebut selagi ia tidak melanggar batasan syarak. Jika sudah melanggar batasan syarak maka wajiblah kita untuk menegur. Bukan niat hanya menegur dirinya tapi niat menegur diri kita sendiri supaya kita sentiasa ditingkatkan iman dan taqwa.
~Artikel iluvislam~

~Wahai Lelaki, Taati Ibumu, Jambatan Terbentang Luas Ke Syurga Jannah~



Ibu dan ayah permulaan kehidupan bagi seorang anak. Kasih ibu mampu ke syurga dan kasih ayah pula akan kekal selamanya. Ibu yang mengandungkan insan bergelar anak selama sembilan bulan 10 hari, bertarung nyawa ketika melahirkan dan berpenat lelah mengasuh dan mendidik hingga mampu menjaga insan kamil dan berjaya.




Segala pengorbanan yang diberikan tidak pernah mereka menuntut ganjaran melainkan dengan satu harapan dan niat iaitu, anak yang dikandungnya itu mampu mengharumkan nama keluarga, agama, bangsa dan tanah air. Itulah yang diharapkan oleh insan bergelar Ibu dan ayah.

Apabila sudah dewasa dan kaki yang kecil dahulu sudah mampu menampung diri sendiri ada yang alpa dan lupa dengan tanggungjawab mereka terhadap insan bergelar ibu. Mungkin saat ini, muka ibu dahulunya 'tegang' dan berseri sudah berkedut seribu.
Jika dahulu dialah manusia paling ligat dibendang membanting tulang membantu si ayah di sawah, kini hanya mampu berkerusi roda ataupun sekadar mampu melemparkan pandangan jauh ke bendang.Anak-anak di mana? Jawapannya satu sibuk urusan sendiri, sibuk urusan isteri atau suami, sibuk persekolahan anak-anak dan sibuk mengejar dunia. Ibu dibiarkan rindu dan menghitung hari-hari sunyi mengharapkan kepulangan anak-anak.
Hari ini ramai ibu bapa dibiarkan sendirian kerana ramai yang tidak faham tanggungjawab terhadap warga ini. Terutama anak lelaki. Fahamilah tanggungjawab kamu besar terhadap mereka. Jika sudah beristeri dan berkeluarga sekalipun, sebagai anak lelaki, syurga kamu tetap di bawah telapak kaki ibu.
Jelas dalam hadis Sahih Bukhari menjelaskan, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, maksudnya : 'Siapakah yang wajib kita hormati dan kasihi selepas Allah SWT dan Nabi? Jawab Nabi, Ibu kamu. Selepas itu? Ibu kamu. Selepas itu? Ibu kamu. Dan kali keempat lelaki itu bertanya 'selepas itu'?' Jawab Nabi, ayah kamu. (Sumber : ILUVISLAM.COM)

Friday, May 6, 2011

Ainul Hayat Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon